Oleh: Nurul Aini Bakar
Entah mengapa tiba-tiba akal melayang fikir hal dulu. Mengingat kembali perjalanan hidup yang berliku. Mungkin kerana teguran malam. Agar terpecah kesunyiannya. Mengajak aku bermonolog sendiri, dengan bulan dan bintang menjadi pendengar setianya. Malam gelap begini, masih ada yang indah menghiasinya. ‘Masih ada sinar dalam kegelapan jika manusia ingin mencari’; Bagai itu perumpamaannya. Fikiranku berputar menayang memori silam.
Aku masih kecil tika itu. Lain benar fizikalnya berbanding sekarang yang nian indah fikrahnya. Segalanya masih mentah, dalam proses bio yang subur membentuk. Waktu itu aku adalah anak riang yang seronok meneroka keajaiban dunia. Tujuan hidupku hanya untuk bermain dan berkawan. Gaya itu aku belajar. Menumbuh terbit sinaps-sinaps di otak, penghubung input yang mengajar diri bahawa itu adalah itu dan ini adalah ini. Begitu jadinya begitu. Begini jadinya begini. Menarik sekali!
Tatkala itu pula aku meniti usia remaja. Tidak dinafikan lagi aku kanak-kanak pintar. Pemikiranku kelihatannya melangkaui rakan-rakan lain. Ibu tahu, ayah perasan dan guru kagum. Wah aku menjadi siulan ramai! ‘Aku perlu tingkatkan usaha lagi’. ‘Gunakan potensiku ke tahap paling maksimum’. ‘ Semua harus mencontohi aku’. Begitu kata mereka. Aku hanya mengangguk akur dengan kerut wajah seribu.
Kali itu aku berjaya lagi. Tapi mengapa wajahku tidak lagi ceria seperti dulu. Telinga sudah jelak mendengar sampaian ilmu. Mata sudah jemu memandang buku. Otak sudah letih dikerah berfikir. Hati sudah sesak dilanda resah. Jiwaku parah! Bukan kerana penuh terisi tetapi kerana kosong! Apa yang kurang? Bukankah aku sempurna? Punya segala. Lengkap serba-serbi. Otak pintar, cantik rupawan, keluarga yang menyayangi aku juga punya harta yang boleh aku gunakan sepuasnya. Gundah aku gulana. Lara aku sengsara. Ingin saja aku jerit pada dunia, bertanyakan apa masalahku sebenarnya?
Tekadang aku bangga. Punya kelebihan begini berbanding orang lain, aku dipandang agak tinggi. Sehingga mendongak hidungku ke atas. Lagak sungguh! Terasa bagai keliling tidak lagi penting, remeh sahaja. Aku sahaja yang tahu. Aku saja yang bagus. ‘Ahh! Senang saja itu!’ Kerap kali kata-kata itu yang terlaung disanubari. Bagai bergema-gema, aku tuli jadinya dengan ‘pemberian’ ini. Buta sudah menilai apa yang ada disekelilingku. Luar biasa alam semesta, kepandaian manusia, susun atur organisma segala, puput lembut angin, malah ribut taufan dan titik rintik hujan, juga berelung-relung awan, suam bayu dan gelora ombak laut; pintar akalku, semua itu dapat aku tafsirkan. Ku perjelas satu persatu fenomena-fenomena ajaib itu. Hingga ternganga mulut-mulut yang terkesima, takjub dengan otak ligatku. Aku senyum. Tapi puaskah aku? Bagai masih ada yang kurang. Itu sebenarnya yang sering kurasa. Terleka aku dalam lautan ilmu sehingga lupa pada yang lebih mengetahui, DIA si Maha Pencipta!
Bukan salah ibu. Dia hanya ingin melihat anaknya berjaya. Bukan salah ayah. Dia hanya mahu yang terbaik untukku. Pun juga bukan salah guru-guru, yang menjadi jambatan medan ilmu yang begitu luas untuk aku teroka. Cuma aku butuh bukan setakat ilmu duniawi ini. Suapkan makanan rohaniku wahai kalian! Bagaimana dengan pedoman aku sebagai hamba pada yang lebih mengetahui? Aku perlu jalan, ilmu bagi mendekati Dia.
Aku masih ingat lagi tika usiaku menjengah ke usia 18 tahun. Sudah tamat pengajian Sarjana Mudaku di Universiti. Menjadi graduan termuda kebanggaan negara. Tenggelam dalam lautan glamor, aku semakin-makin menjadi lupa diri. Berebut-rebut orang ingin mengambil aku bekerja. Ingin mengeksploitasi kepintaranku. Aku menjadi lemas dalam kabut perhatian manusia yang tak putus-putus. Ku perlu perhatian Yang Maha Mengetahui. Ku butuh perlindungan tuhan dari hasutan lidah yang tak henti berbicara, cuba menarik aku jauh dari pautan pegangan kepercayaanku yang rapuh. Sesungguhnya aku hambaNYA yang jauh dari sempurna, kurang serba-serbi. Hatiku menjerit kerana hakikat itu. Aku adalah manusia kosong…
Dan kini aku menjejak lembah hina kerana sudah bosan dengan sandiwara dunia yang penuh dengan kepuraan. Keluarga aku tinggalkan kerana sudah bosan dengan desakan akademik yang memualkan. Otak pintar bukan segala-galanya. Jika ia menjadi aset paling bernilai manusia, mengapa aku yang dikatakan diberikan kelebihan akal mengikut nafsu bersifat mengalahkan binatang sekarang? Rasa malu sudah pupus. Mengikut gelojoh hati yang sudah kental diselaput tompok hitam. Aku hanya mengikut kehendak jiwa, mahu bersuka ria selagi nafas masih ada. Bak kata orang, hidup hanya sekali. Huh! Kancah maksiat membuat aku bahagia. Dunia ini sepatutnya menjadi syurga. Ya kan! (bersungguh) Benar kan? (ragu-ragu)
Mendongak langit kembali. Mengalir perlahan ke tubir mata, titik air memecah empangan. Entah mengapa hati terusik. Terusik dengan kekosongannya yang tidak pernah terisi dengan Nur. Mungkin ini petunjuk dari-Nya. Teguran malam yang membuat aku bermuhasabah diri. Bermonolog sendiri, meluah pada bulan dan bintang yang setia mendengar. Masih ada sinar dalam kegelapan jika manusia ingin mencari. Empangan pecah lagi. Apa yang tak kena? Apa yang kurang? Apa yang aku mahu sebenarnya? Apa? Esak tangis semakin hebat.
Kau butuh petunjuk! Agar dapat kau cari jalan kebenaran. Sinar Iman yang dapat menerobos tompok hitam hatimu. Memberi kau kekuatan untuk meneruskan peperangan hidup yang mana musuhnya adalah dirimu sendiri. Sesungguh kau manusia jahil dan bodoh yang menzalimi diri. Manusia lemah yang tiada upaya menahan godaan bala tentera syaitan yang datang dengan segala macam senjatanya. Kau tenggelam dalam ujub nikmat akal fikirmu yang hanyalah sezarah nilai kurniaan Tuhanmu. Kau riak dalam kecantikan yang dihadiahkan-NYA padamu. Kau bakhil dengan harta dunia yang diberikan-NYA padamu. Kau terusan mengikut telunjuk iblis yang mengumpan kau untuk terus kekal di lembah hina itu. Pohonlah duhai insan, mintalah pada-NYA. Yang tak jemu mendengar segala permintaan hambanya. Bertaubatlah! Kerana pintu taubat akan terus terbuka sehinggalah kau menutup mata. Jangan sampai tarikh luput itupun kau terusan hanyut. Ingat duhai insan…
